Monday, June 29, 2009

Kemasukan Qayyum ke Tingkatan Enam


Tahniah kepada anakku Qayyum yang telah berjaya memasuki Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Taman Tasik, Ampang. Aku harap beliau belajar bersungguh-sungguh agar berjaya masuk universiti pada tahun 2011 nanti.

Sunday, June 7, 2009

Perkelahan di Taman Negara dan Pulau Tioman


Muhamad Faiz telah mengikuti kumpulan dari Singapura untuk berkelah di Taman Negara selama dua hari mulai Jumaat 5 Jun 2009. Sementara itu, Dzul Ikram pula telah pergi ke Pulau Tioman bersama rakan pejabatnya (Pos Malaysia) pada 5 Jun 2009 hingga 7 Jun 2009.

Tamat Latihan PLKN

Qayyum Adli telah menamatkan latihan PLKN pada hari ini 7 Jun 2009. Aku, Anna dan Luqman menghadiri majlis perbarisan tamat latihan wira dan wirawati PLKN. Majlis dirasmikan oleh Komanden Pusat PLKN tersebut. Diharapkan pengalaman yang diperolehi oleh Qayyum akan dapat membentuk peribadi beliau supaya menjadi seorang remaja yang bersemangat waja dan keperibadian yang unggul. Semoga ia dapat membantunya mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Majlis Merisik Tunang Luqman

Pada 6 Jun 2009, kami telah pergi ke rumah En. Saidon di Lorong 7, Sungai Sumun, Bagan Datuh kerana merisik calon isteri Luqman. Azhar dan Anwar serta isteri masing-masing telah turut serta. Perbincangan telah diadakan antara kedua pihak bagi merundingkan majlis pertunangan dan perkahwinan Luqman Hakim dan Nahwal Amanie. Mesyuarat bersetuju menetapkan Majlis Pertunangan akan diadakan pada 28 Jun 2009 jam 12.00 tengahari.

Monday, June 1, 2009

Perkahwinan anak Faridah


Khirul Fazli Shamsuddin, anak kepada Faridah telah melansungkan pernikahannya pada 30 Mei 2009 di surau Taman Keramat Permai dan majlis perkahwinannya telah diadakan pada 31 Mei di Dewan orang ramai di AU2. Ramai sanak saudara yang hadir termasuk mereka dari Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur/Selangor. Majlis tersebut diadakan serentak bagi kedua-dua pihak pengantin lelaki dan perempuan. Selepas menitik inai, aku terpaksa bergegas ke Bangi kerana menghadiri majlis perkahwinan anak kawan ku, Che Embi Zakaria (Starians 65). Di sana juga aku bertemu dengan kawan-kawan ku Starians 65 seperti Rex, Dr. Rosmani, Razali Harun, Mahmud Affandi.

Thursday, May 14, 2009

Qayyum layak ke Tingkatan Enam

Anak ku Qayyum Adli telah ditawarkan untuk masuk ke Tingkatan 6 di SMKTT. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana memberi peluang kepada anakku untuk terus belajar. Beliau terpaksa menangguhkan pendaftarannya kerana sedang mengikuti program PLKN di Melaka. Menjadi harapan ku agar anak ku belajar bersungguh-sungguh dan berjaya masuk universiti selepas Tingkatan 6 ini.

Pemergian Kak Saudah

Pada 12 Mei 2009, Kak Saudah, isteri kepada abang Mohd. telah kembali ke rahmatullah pada jam 11.30 malam. Beliau telah dibawa ke hospital Kuantan beberapa hari sebelum itu. Saya dan isteri telah datang melawatnya pada 11 Mei 2009. ketika itu beliau dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri. Ramai saudara mara jauh dan dekat hadir menziarahinya.

Pada 13 Mei 2009, jam 7.00 pagi saya, isteri dan Luqman telah pergi Ke Kuantan. Sebaik tiba di rumah abang Mohd., kami dapati jenazah telah selamat disembahyangkan dan sedia untuk dibawa ke kubur. Jenazah telah selamat dikebumikan di Kubur Jalan Bukit Ubi, Kuantan. Saya pulang ke KL setelah selesai.

Semasa perjalanan ke Kuantan, kami telah disaman oleh pihak polis trafik kerana memandu laju. Ketika itu Luqman yang sedang memandu. Yang hairannya, saman itu tidak menyatakan dendanya tapi meminta pemandu hadir ke Mahkamah Majestret Maran pada 8.30 pagi 14 Julai 2009.